PMS! Ucapan Pengarah (Majlis Perasmian Penutup MSK 2011)

on Wednesday, 13 July 2011

Ini merupakan amanat ataupun ucapan yang disampaikan oleh Tn. Hj. Rosli bin Hamid, Pengarah Politeknik Muadzam Shah ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutup Minggu Suai Kenal Pelajar-pelajar Baru Sesi Jun 2011..

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Terima kasih kepada saudara pengacara majlis.

Yang Berhormat
Senator Dato’ Maznah Binti Mazlan
Timbalan Menteri Sumber Manusia
Merangkap
ADUN Muadzam Shah

Yang Berusaha
Tn. Hj. Nor Rahim Bin Muhayat
Timbalan Pengarah
Politeknik Muadzam Shah

Ketua-ketua Jabatan

Ketua-ketua Unit

Para pensyarah
Dan seterusnya para pelajar baharu yang dikasihi sekalian.

(Pengenalan)

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun dalam majlis ini pada pagi yang berbahagia ini. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ yang sudi datang meluangkan masa untuk menghadiri majlis ini. Kehadiran Yang Berhormat Dato’ amat dihargai dan dialu-alukan.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar baharu Sesi Jun 2011 kerana berjaya melanjutkan pengajian masing-masing di politeknik ini. Masih belum terlambat, jika saya mengucapkan selamat datang ke Politeknik Muadzam Shah kepada para pelajar sekalian. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih dan tahniah kepada Jawatankuasa Minggu Suai Kenal (MSK) Sesi Jun 2011 yang telah berusaha gigih untuk memastikan kelancaran perlaksanaan program-program MSK yang telah dirancangkan dan juga Majlis Penutupannya pada pagi ini.

Pengenalan PMS

Yang Berhormat Dato’, tuan/puan dan para pelajar sekalian

Politeknik Muadzam Shah merupakan politeknik yang ke-19 ditubuhkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang telah memulakan operasinya pada 1 Ogos 2003. Sejak ditubuhkan, politeknik ini telah mengalami perkembangan dan kemajuan yang drastik. Kita bermula dengan hanya menawarkan dua (2) program pengajian di peringkat sijil, tetapi pada hari ini Politeknik Muadzam Shah telah menawarkan sembilan (9) program pengajian di peringkat diploma dan tidak lagi menawarkan program pengajian di peringkat sijil. Saya percaya, politeknik ini akan menambahkan penawaran program-program pengajian yang relevan, kompetitif dan mengikut arus semasa selaras dengan kehendak agenda pembangunan modal insan negara.

Sesungguhnya, kita amat bertuah, kerana pada 23 November 2010 yang lalu, Politeknik Muadzam Shah dengan secara rasminya telah diserahkan kampus baru yang indah dan serba canggih ini. Saya yakin dan percaya, kampus baru yang dilengkapi dengan prasarana, peralatan dan teknologi bertaraf dunia akan menjadi catalyst atau pemangkin kepada perkembangan politeknik ini, baik daripada aspek pengajaran & pembelajaran, pembangunan dan penyelidikan, inovasi, dan percambahan ilmu pengetahuan, dalam usaha kita untuk melahirkan modal insan yang berkualiti. Adalah menjadi hasrat kita, untuk menjadikan politeknik ini sebagai politeknik pilihan dalam melahirkan modal insan yang komited, responsif dan inovatif berkeupayaan memacu ekonomi dan pembangunan negara.

Minggu Suai Kenal

Yang Berhormat Dato’, tuan/puan dan para pelajar sekalian

Seperti yang kita maklum, Minggu Suai Kenal dilaksanakan bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai politeknik baik daripada aspek sistem pengajian, kemudahan pelajar, pembangunan sahsiah pelajar, motivasi dan cabaran mengharungi kehidupan kampus disamping mewujudkan hubungan akrab dikalangan para pelajar.

Perlaksanaan sesi taklimat, riadah, ceramah keagamaan/kerohanian dan Aktiviti-aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) merupakan platform penting untuk para pelajar mengenali dengan lebih dekat kehidupan kampus yang bakal saudara saudari tempohi di mana, ianya sudah pasti berbeza dengan alam persekolahan. Adalah diharapkan para pelajar telah berupaya menyesuaikan diri di kampus ini dan berjaya membuat anjakan paradigma selaras dengan status saudara dan saudari sebagai pelajar Institusi Pengajian Tinggi. 

Saya yakin bahawa para pelajar telah mendapat pendedahan yang sewajarnya sepanjang Program Minggu Suai Kenal ini dilaksanakan dan berharap objektif perlaksanaan program ini tercapai sepenuhnya.

Halatuju Pelajar

Yang Berhormat Dato’, tuan/puan dan para pelajar sekalian

Di sini, saya ingin melontarkan satu persoalan kepada para pelajar. Adakah saudara saudari mempunyai tujuan atau matlamat memasuki Politeknik Muadzam Shah? Saya pasti, sudah tentu para pelajar sekalian ada jawapannya dan mempunyai matlamat atau tujuan yang jelas. Ingatlah, anda adalah harapan keluarga, bangsa dan negara yang bakal mencorakkan kelangsungan pembangunan negara pada masa hadapan. Justeru itu, saya menyeru agar para pelajar yang dikasihi sekalian supaya menggunakan peluang dan kesempatan untuk belajar di politeknik ini dengan sebaik yang mungkin.

Saya berharap agar para pelajar membulatkan tekad dan keazaman untuk belajar dengan bersungguh-sungguh, menggilap dan membangunkan bakat serta potensi diri masing-masing ke tahap tertinggi. Sesungguhnya, saya percaya semua warga kerja politeknik ini akan memberi seluruh komitmen mereka untuk membantu para pelajar di sepanjang pengajian di sini.

Justeru itu, para pelajar perlu proaktif mengambil kesempatan ini secara maksimum dan mempunyai inisiatif untuk memajukan diri di dalam pelbagai bidang baik daripada aspek kecemerlangan akademik, sahsiah, inovasi, keusahawanan, kesukanan mahupun kemahiran insaniah. Gunakanlah kesemua kemudahan atau prasarana di politeknik ini dengan sebaik mungkin untuk membina kecemerlangan diri anda semua.

Selain itu, para pelajar diharap untuk memperkaya kreativiti dan inovasi masing-masing. Terokai dan keluarkanlah kreativiti dan kekuatan pemikiran serta imaginasi yang ada dalam diri para pelajar sekalian untuk menjadi modal insan unggul bertaraf dunia. Saya berharap agar para pelajar berjaya dalam penerokaan dan penjelajahan dunia pengajian di politeknik ini dengan bukan hanya setakat berjaya mendapat segulung diploma, tetapi para pelajar juga memperlengkapkan diri masing-masing dengan lima (5) ciri kemahiran insaniah.

Lima (5) ciri tersebut ialah ialah Critical Thinking and Problem Solving (pemikiran kritikal dan penyelesai masalah), Effective Communication Skills (keberkesanan berkomunikasi), Collaboration and Team Building (boleh bekerja secara berkesan termasuk dengan kumpulan yang berbeza pandangan), Creative and Innovative (kreativiti dan inovasi) dan Culturally Literate (celik budaya untuk bergerak dalam dunia yang kepelbagaian). Saya percaya, pelajar yang memiliki kelima-lima ciri tersebut menepati keperluan negara untuk bersaing dan berhadapan dengan cabaran-cabaran global.

Penutup

Yang Berhormat Dato’, tuan/puan dan para pelajar sekalian

Saya berharap agar para pelajar memperolehi pengalaman dan pengetahuan yang berkualiti selama berada di politeknik ini. Saya mendoakan agar para pelajar sekalian berjaya di dalam pengajian masing-masing dan menjadi individu unggul yang menyumbang kepada pembangunan negara. Akhir kata saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan saya sudahi ucapan ini dengan lafaz yang mulia Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ranking: 5
 
© Blog Penjana Minda Strategik All Rights Reserved