PMS! Transformasi Politeknik Wujud 3.3 juta Peluang Pekerjaan

on Thursday 7 July 2011

Md Nor Yusof 

SEBANYAK 3.3 juta peluang pekerjaan baru akan diwujudkan di bawah Aktiviti Ekonomi Utama Nasional atau NKEA menjelang 2020 dan 60 peratus daripadanya pekerjaan berkemahiran tinggi. Daripada jumlah itu, negara memerlukan kira-kira 1.5 juta pekerja mahir peringkat diploma dan 680,000 daripadanya disasarkan lulusan politeknik.

Transformasi politeknik yang dilancarkan pada Februari lalu antara usaha bagi memenuhi keperluan negara itu selain menjadikan institusi berkenaan sebagai peneraju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional, sekali gus mengubah persepsi bahawa bidang kemahiran hanya bagi pelajar gagal atau yang kurang cemerlang.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md Nor Yusof, mengulas perkembangan terkini transformasi politeknik seperti disampaikan kepada wartawan Varsiti, Rosniza Mohd Taha. 

S Pengumuman Politeknik Premier antara langkah awal transformasi politeknik. Apa perkembangan terkini ketiga-tiga politeknik berkenaan iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Politeknik Johor Bahru (PJB) ?

J
Transformasi Politeknik mempunyai tiga matlamat utama iaitu menjadikan ia institusi pilihan utama bagi sekurang-kurangnya 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan kepada 85 peratus dan peneraju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) yang setanding universiti.

Sejak Transformasi Politeknik dilancarkan pada 25 Februari lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelbagai inisiatif dilaksanakan, termasuk penubuhan Politeknik Premier.

Bagi merealisasikan status Politeknik Premier, peruntukan sebanyak RM13 juta diperoleh bagi setiap politeknik berkenaan untuk pengukuhan Center of Technology (COT) masing-masing iaitu PUO bagi bidang kejuruteraan marin, PSA untuk bidang perubatan elektronik serta PJB dalam jurusan Reka bentuk Kreatif.
Penawaran program diploma lanjutan juga dirancang bagi ketiga-tiga politeknik itu iaitu PSA bakal menawarkan Diploma Lanjutan Kejuruteraan Elektronik (Perubatan), PUO bagi jurusan Kejuruteraan Mekanikal sementara PJB dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik.

Selain itu, Politeknik Premier mempunyai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) lebih tinggi berbanding politeknik konvensional. Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) merancang untuk menjadikannya sebagai tarikan kepada lepasan SPM yang mempunyai keputusan cemerlang dan sederhana cemerlang selain tenaga pengajar cemerlang.
 
S Apa perkembangan terkini aspek lain termasuk pembangunan kurikulum, latihan sumber manusia, menambah baik struktur dan tadbir urus institusi serta pengukuhan kerjasama institusi dan industri yang turut membabitkan politeknik konvensional?

J
Usaha pembangunan modal insan memerlukan perancangan sistematik dan pelan jangka panjang. Menyedari hal itu, JPP menggariskan beberapa pelan tindakan dan menetapkan tempoh tertentu bagi mencapai sasaran pelan berkenaan.

Antaranya pembangunan 52 kurikulum program baru sejajar keperluan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dan pelaksanaan 18 program diploma lanjutan serta program berkembar menjelang 2015.

Bagi tempoh sama, JPP akan berusaha meningkatkan kelayakan tenaga pengajar politeknik dengan sasaran memiliki 165 ahli akademik berkelayakan ijazah doktor falsafah sementara 2,600 lagi memiliki sarjana selain 20 peratus pensyarah mempunyai persijilan profesional industri.

Kami juga menjangkakan perolehan geran penyelidikan pada tahun ini dan susulan itu ingin memastikan 15 produk inovasi politeknik difailkan untuk paten menjelang tahun depan.

S Transformasi Politeknik yang selaras dengan Perancangan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), berupaya meningkatkan politeknik menjadi laluan alternatif untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta berkualiti yang mencukupi bagi menjayakan ekonomi baru yang berlandaskan inovasi dan kreativiti. Apa inisiatif bagi menyahut cabaran ini?

J
JPP menggariskan beberapa inisiatif untuk menjadikan politeknik sebagai laluan alternatif menjayakan Model Baru Ekonomi. Antaranya ialah meningkatkan tahap kebolehpasaran pelajar melalui program termasuk satu pensyarah, lima graduan (1L5G), Finishing School, serta kemahiran teknikal Diploma++. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM18 juta bagi program ini.

Kami juga akan menjalankan Projek Migrasi dari Tradisional Education (TE) ke Outcome Based Education (OBE) berdasarkan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia. Peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah pengajaran bukan tradisional, contohnya, Pemusatan Pelajar, Pembelajaran Berasaskan Projek serta Tugasan juga dititikberatkan.
 
S Permohonan memasuki politeknik meningkat saban tahun, difahamkan mencecah 90,000 sedangkan tempat disediakan hanya kira-kira 25,000 setahun. Ada langkah terbaru bagi meningkatkan peluang atau laluan lebih ramai calon untuk melanjutkan pengajian ke politeknik ? 

J
Alhamdulillah, permohonan masuk ke politeknik saban tahun amat menggalakkan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat menaruh kepercayaan terhadap kualiti pendidikan dan latihan yang ditawarkan di politeknik. Contohnya, tahun ini kita menerima 102,000 permohonan sedangkan jumlah tempat ditawarkan hanya kira-kira 44,000.

Jika sekadar mengekalkan kapasiti pengambilan sedia ada iaitu kira-kira 32,000 setahun, mustahil bagi JPP memastikan sasaran 680,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi lulusan diploma politeknik dicapai dalam tempoh sembilan tahun akan datang.

Justeru, usaha untuk menambah akses pendidikan dan latihan di politeknik sedang dan akan terus dilaksanakan. Beberapa politeknik sudah dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan akan siap tidak lama lagi.

Politeknik Mersing dan Nilai masing-masing siap pada Februari dan bulan lalu selain Politeknik Sandakan yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan depan. Sementara itu, Politeknik Banting dan Jeli, masing-masing dijangka siap pada Februari dan April tahun depan. Kelima-lima politeknik baru ini membolehkan JPP meningkatkan pengambilan sebanyak 3,360 pelajar.

Selain itu, JPP merancang terus menambah beberapa politeknik baru dalam RMKe-10 bagi memastikan jumlah graduan dihasilkan menepati sasaran NKEA. Bagi Rolling Plan Pertama RMKe-10, kerajaan sudah meluluskan pembinaan Politeknik Balik Pulau. Pembangunan politeknik ini sedang dilaksana Jabatan Kerja Raya dan dijangka siap pada 2014 sekali gus membolehkan tambahan pengambilan 800 pelajar setiap tahun.

Dalam Rolling Plan Kedua RMKe-10, pembinaan tiga politeknik baru dirancang iaitu Politeknik Pagoh, Politeknik Hulu Terengganu dan Politeknik Bagan Datoh serta lapan Politeknik Metro di Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan serta Perak.

Penubuhan 11 politeknik ini masih dalam pertimbangan kerajaan lagi, dan jika dilaksanakan akan meningkatkan lagi kapasiti pengambilan 5,600 pelajar setiap tahun. Selain pembangunan politeknik baru, JPP juga akan melaksanakan program naik taraf politeknik sedia ada supaya institusi berkenaan dapat membuat penambahan pengambilan pelajar.

JPP menyahut cabaran kerajaan supaya memaksimumkan sumber yang ada bagi membantu merealisasikan ekonomi berpendapatan tinggi kerana walaupun menghadapi kekangan sumber terutama tenaga pengajar, kreativiti tidak terhad.

S Kementerian Pelajaran bercadang mewujudkan Kolej Vokasional yang turut menawarkan TEVT dan menganugerahkan diploma kepada lulusannya? Bagaimana JPP melihat perkembangan ini?

J
JPP tidak melihat ia sebagai persaingan, tetapi berharap pelaksanaan inisiatif itu tetap berpegang kepada usaha murni meluaskan akses pengajian peringkat tinggi kepada lepasan SPM, bukan semata-mata menyediakan mereka untuk kemahiran bekerja sebaik tamat persekolahan.

Bagi tujuan ini, kajian mendalam termasuk mengenai pedagogi, kurikulum dan laluan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk politeknik dapat dipastikan.

Persoalan termasuk adakah lepasan kolej itu akan mempunyai kelebihan terus memasuki pengajian politeknik semester dua atau tahun kedua berbanding lepasan SPM perlu dipastikan dan untuk tujuan itu, kami sedia berbincang dengan Kementerian Pelajaran bagi memastikan ada kesinambungan pengajian rendah hingga ke peringkat lebih tinggi.

S Transformasi politeknik diharap menjadi pencetus perubahan terhadap kepentingan profesion teknologis dan juruteknik, yang juga lepasan politeknik. Ada pihak mencadangkan diwujudkan badan profesional bagi mengiktiraf lepasan politeknik berkemahiran tinggi sebagaimana golongan profesional seperti jurutera dan doktor. Pandangan tuan ?

J
Profesion teknologis dan juruteknik semakin menjadi penting selain kejuruteraan. Justeru, badan profesional yang dinamakan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) sedang dirancang untuk ditubuhkan bagi menguatkuasakan pelesenan dan pengiktirafan juruteknik dan teknologis negara ini.

Politeknik sudah 40 tahun beroperasi dan sudah ramai juruteknik kita berkhidmat dalam pelbagai sektor, tetapi masih tiada badan khas berperanan menjaga kebajikan mereka.

Badan ini akan wujud bersama dan melaksanakan fungsi melengkapi dengan Lembaga Jurutera. Kertas kerja penubuhan MBOT kini pada peringkat akhir penyediaan dan akan dibentang sebagai akta untuk kelulusan parlimen secepat mungkin.

S Pada pemerhatian tuan, bagaimana penerimaan dan reaksi warga politeknik kepada usaha transformasi. Adakah cukup kesedaran atau perlu penambahbaikan dalam usaha menjayakannya?

J
Menurut Kotter, sebarang pengurusan perubahan perlu ditangani dengan sistematik. Langkah pertama ialah buy-in daripada warga politeknik supaya mereka benar-benar menghayati dan bersama-sama merealisasikan agenda transformasi daripada matlamat hingga sasaran.

Susulan itu, kita menggunakan pendekatan SES iaitu Strategise, Energise dan Synergise di samping memenangi hati dan minda warga politeknik melalui pendekatan Winning Hearts and Minds.

Pemerhatian awal mendapati bahawa secara keseluruhannya, warga politeknik memahami dan menerima rasional di sebalik transformasi politeknik sebagai satu usaha untuk melonjakkan peranan politeknik dalam menyumbang kepada transformasi ekonomi negara. Satu kajian untuk mengukur tahap kefahaman, penerimaan, kesediaan dan penghayatan warga politeknik sudah dijalankan bermula awal Mei lalu.

Status kajian ialah pada peringkat pengumpulan data untuk dianalisis dan dijangka siap dalam masa terdekat. Dapatan kajian akan digunakan sebagai maklum balas input kepada penambahbaikan kejayaan transformasi politekni.

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Blog Penjana Minda Strategik All Rights Reserved